Candy Crush Saga ialah sebuah permainan video yang dilancarkan pada 12 April 2012 untuk Facebook, dan kemudiannya dilancarkan pada 14 November 2012 untuk telefon pintar.Ia dibangunkan oleh King. Setakat Mac 2013, Candy Crush Saga sudah memotong kedudukan FarmVille 2 sebagai permainan paling popular di Facebook, dengan purata 45.6 juta pengguna bulanan. Ia adalah variasi daripada permainan pelayar web mereka, Candy Crush.
Gaya permainan
Permainan ini merupakan variasi bagi permainan tiga padanan seperti
Bejeweled. Setiap aras mempunyai satu papan permainan yang diisi dengan gula-gula yang berbeza warnanya, dan mungkin terdapat halangan. Pergerakan asas permainan ini adalah dengan menukar kedudukan dua biji gula-gula bersebelahan sama ada melintang mahupun menegak, bagi menghasilkan beberapa set padanan tiga (atau lebih) biji gula-gula yang sama warna.
Sistem nyawa
Setiap pemain secara lalai diberikan bilangan maksimum lima nyawa. Seseorang pemain memerlukan sekurang-kurangnya satu nyawa bagi memainkan sesuatu aras. Jika pemain gagal melengkapkan sesuatu aras, satu nyawa akan ditolak. Nyawa akan dijana semula setiap 30 minit bagi satu nyawa. Pemain juga boleh memulihkan nyawa dengan meminta pertolongan rakan-rakan Facebook, atau dengan membayar kredit Facebook (atau, bagi iOS dan Android, dengan menetapkan semula jam atau tarikh, walaupun ia boleh menyebabkan paparan jam yang salah)
Gula-gula Khas
Gula-gula Khas akan terhasil apabila empat atau lebih gula-gula yang sama warna dipadankan bersama. Gula-gula Khas mempunyai kesan khas (seperti mengosongkan keseluruhan baris gula-gula) apabila ia digunakan. Contoh Gula-gula Khas termasuklah Gula-gula Berjalur, Gula-gula Berbungkus dan Bom Gula-gula.
Kombinasi Gula-gula Khas
Jika seseorang pemain cuba untuk memindahkan dua biji Gula-gula Khas bersebelahan, ia akan menghasilkan satu kesan khas gabungan. Kesan khas sebegini selalunya jauh lebih berkuasa daripada kesan gula-gula individu.
Halangan
Halangan muncul pada beberapa aras tertentu. Halangan mempunyai pelbagai jenis sifat, dan kesemuanya direka untuk menjadikan sesuatu aras lebih sukar untuk diselesaikan. Contoh halangan termasuklah coklat yang cuba memenuhi keseluruhan papan permainan secara perlahan-lahan, serta puting beliung yang memusnahkan ruang papan permainan secara rawak.
Penggalak
Penggalak merupakan benda yang hanya boleh digunakan sekali sahaja yang boleh digunakan untuk membantu pemain menyelesaikan sesuatu aras. Penggalak selalunya dibeli menggunakan kredit Facebook. Setiap aras dalam Candy Crush Saga boleh diselesaikan tanpa penggunaan penggalak, tetapi tahap kesukaran permainan direka bagi menggalakkan pembelian penggalak. Contoh penggalak termasuklah Tukul Lolipop yang boleh memusnahkan mana-mana jubin permainan, serta Penukar Percuma yang boleh menukarkan mana-mana dua biji gula-gula bersebelahan.
Azimat
Dalam versi Candy Crush Saga terdahulu, pemain boleh membeli barang azimat bagi membantu melengkapkan sesuatu aras. Azimat lebih mahal daripada penggalak, kerana azimat boleh digunakan berulang kali. Setakat 27 Jun 2013, Azimat sudah tidak lagi boleh dibeli.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan