KLIK.. Peluang Anda

Khamis, 31 Julai 2014

Mangsa mercun rela kaki dipotong

Laporan Sinar Harian, semalam.
HULU BERNAM - Bapa kepada lima anak yang menjadi mangsa mercun menjalani pembedahan bagi membuang kaki kirinya di Hospital Slim River (HSR) setelah 80 peratus kakinya hancur akibat letupan bahan itu yang dipercayai buatan sendiri.

Isteri mangsa, Nor Hassilah Shamsuddin, 29, berkata, suaminya dimasukkan ke dewan bedah kira-kira jam 1 petang semalam dan pembedahan ambil masa hampir lima jam.

“Abang setuju kaki kirinya dipotong sehingga pangkal paha kerana 20 peratus saja yang tinggal selepas berlubang dan sebahagiannya hancur terkena letupan besi (ekzos).


“Pembedahan dilakukan kerana jangkitan kuman sudah ada, kalau lambat, risikonya besar,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Nor Hassilah menemani suaminya, Khairul Azani Md Desa, 35, sepanjang hari selepas dimasukkan ke HSR petang kelmarin akibat cedera terkena letupan mercun.

Katanya, selain kaki kiri, ibu jari dan jari telunjuk di sebelah tangan kanan dan kiri suaminya turut dipotong, manakala satu jari tengah tangan kiri berjaya disambungkan semula.

Nor Hassilah sedih, namun reda terhadap apa yang menimpa suaminya.

“Selalunya kita tengok dalam televisyen nasib mangsa mercun tapi sekarang berlaku depan mata, kena pada suami sendiri.

“Memang sedih tapi kita tak boleh menolak takdir ALLAH. Saya reda atas apa yang berlaku,” katanya.

Susulan kejadian tersebut, Nor Hassilah terpaksa berulang-alik ke HSR bersama anak bongsunya berusia setahun menaiki motosikal.

Dia mengakui agak kesempitan masa kerana memikirkan menjaga suami dan makan minum anak-anaknya.

Menurutnya, sambutan Syawal juga tidak dapat disiapkan dan segala perancangan terpaksa dihentikan untuk menumpukan perhatian kepada suami.

Nor Hassilah mengakui bersyukur kerana pihak HSR berjanji untuk mendapatkan bantuan kaki palsu dan kerusi roda untuk suaminya.


Anak-anak trauma

Sementara itu, anak sulung mangsa, Nor Amira Natasha, 12, berkata, melihat kejadian menimpa bapanya membuatkan mereka lima beradik trauma dan tekad untuk tidak bermain mercun lagi.

“Sebelum ini memang kami suka main mercun dan bunga api tapi bila tengok ayah jadi macam ni kami jadi takut dan tak akan main lagi.

“Ibu pun pesan jangan cuba-cuba main mercun nanti jadi macam ayah...kami yang susah,” katanya.

Menurut Nor Amira Natasha, kejadian malang menimpa ayahnya hanya berbaki beberapa hari sebelum Syawal menjelma, dan sebelum ini mereka lima beradik sudah mengimpikan untuk menyarung baju baharu untuk menyambut Aidilfitri.

Namun, dia terpaksa melupakan hasrat itu dan berlapang dada menerima ketentuan ALLAH SWT.

“Memang kami nak kalau boleh tahun ini pakai baju baru sambut raya, tapi bila tengok ayah sakit, biarlah duit itu digunakan untuk belanja rawatan ayah.

“Selama ini pun ayah seorang saja bekerja. Kerja pun kerja kampung, ibu suri rumah saja. Jadi apa yang kami harapkan ayah sihat dan dapat balik rumah,” katanya yang belum berkesempatan melawat ayahnya di hospital.


Dengar letupan kuat

Dalam pada itu, bapa mertua mangsa, Shamsuddin Sangkarjak, 63, berkata, ketika kejadian, dia sedang berehat dan terkejut mendengar letupan kuat serta suara kanak-kanak menjerit menangis.

“Cucu sulung saya datang menangis panggil saya naik atas tengok ayah mereka.

“Sebelum itu saya memang syak ada ada sesuatu yang berlaku selepas mendengar bunyi letupan meriam. Saya kata ini mesti ayah mereka sebab dia suka main meriam,” katanya.

Bagaimanapun, Shamsuddin bersyukur kerana kejadian itu tidak melibatkan cucu-cucunya.

Dalam kejadian petang Sabtu lalu, Khairul Azani cedera parah setelah ekzos yang mengandungi belerang tiba-tiba meletup ketika dia sedang mengetuk-ngetuk besi tersebut di depan rumahnya.


sumber : sinarharian.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cerita-Cerita Menarik