KLIK.. Peluang Anda

Jumaat, 25 Julai 2014

Kembar didera bapa kandung

JOHOR BAHRU - Sepasang kanak-kanak kembar dari sebuah sekolah kebangsaan sekitar bandar raya ini, dipercayai menjadi mangsa dera bapa kandung mereka dengan terdapat beberapa kesan bengkak selain cedera di tangan dan dahi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, kecederaan itu disedari guru sekolah yang hairan melihat mereka enggan pulang ke rumah sebaik sahaja tamat waktu persekolahan, kelmarin.

Menurutnya, guru terbabit yang bimbang melihat tingkah laku dua murid perempuan berusia 12 tahun itu bertindak memeriksa mereka sebelum menemui kesan lebam seperti dipukul.

“Guru terbabit terus menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum jabatan itu memaklumkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut mendapati kanak-kanak itu menjadi mangsa dera oleh bapa kandung mereka,” katanya, di sini semalam.

Sulaiman berkata, pasangan kembar daripada lima beradik itu dipercayai dipukul menggunakan kayu mop sehingga mengakibatkan mereka mengalami kecederaan.

“Seorang daripada mereka cedera di tangan, manakala seorang lagi cedera di tangan dan dahi.

“Terdapat juga bekas luka lama pada tubuh dua beradik itu dan kita percaya kejadian dera terhadap dua beradik itu sudah lama berlaku.

“Kita kini sedang mengesan bapa pasangan kembar berusia lingkungan 40-an yang bekerja sebagai pemandu lori dan kita percaya dia berada di luar Johor. Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, pasangan kembar itu kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Perbuatan mendera anak adalah salah di sisi undang-undang dan JKM akan mengambil tindakan susulan supaya pasangan kembar itu dapat diselamatkan dan ditempatkan di pusat perlindungan sementara,” katanya.


sumber : sinarharian.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cerita-Cerita Menarik