ARIZONA: Seorang banduan di Arizona, Amerika Syarikat mengambil masa dua jam untuk menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tercungap-cungap dan mendengus selepas menjalani hukuman mati.
Ini adalah insiden terbaru ketika masyarakat negara itu mempersoalkan pelaksanaan hukuman mati menggunakan suntikan beracun dalam sistem kehakiman jenayahnya.
Hukuman mati ke atas Joseph Wood, pesalah kes bunuh berkembar itu, bermula pukul 1.52 petang waktu Arizona di kompleks penjara. Dia disahkan meninggal dunia pada 3.48 petang, kata pejabat peguam negeri Arizona.
Proses yang biasanya mengambil masa 10 hingga 15 minit berlanjutan sampai hampir dua jam. Menurut saksi termasuk wartawan dan peguam Dale Baich yang mewakili Wood, lelaki itu nampak tercungap-cungap.
“Saya sudah saksikan beberapa hukuman mati tetapi saya tidak pernah tengok yang seperti ini,” kata Baich seperti dipetik oleh The Washington Post. “Hukuman mati yang saya saksikan sebelum ini tidak lama seperti ini.”
Peguam Wood memfailkan rayuan segera kepada mahkamah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman mati itu ketika lelaki itu bertarung nyawa. Mereka juga menghubungi seorang hakim Mahkamah Agung untuk bantuan.
Rayuan itu difailkan pada pukul 3 petang atas alasan hak asasi Wood untuk dihukum mati tidak dengan kejam.
Wood bagaimanapun mati sebelum mahkamah memberi maklumbalas. Hakim Mahkamah Agung itu juga menolak permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.
Pada pukul 3.39 petang, menelefon tiga hakim yang membenarkan hukuman mati itu. Tetapi 10 minit kemudian Wood menghembuskan nafas terakhirnya.
Pihak peguam negeri mendakwa Wood telah tidak sedarkan diri sepanjang proses itu dan tidak menderita. "Dia berdengkur," kata Stephanie Grisham, jurucakap pejabat peguam itu yang juga menyaksikan kejadian itu. "Tidak ada tercungap atau mendengus. Itu yang sebetulnya. Dia hanya tidur."
Tetapi menurut peguam kalau betul sekalipun anak guam mereka itu telah tidur dan tidak sedar, kenapa proses itu mengambil masa yang panjang.
Gabenor Arizona, Jan Brewer melahirkan kebimbangan terhadap proses yang panjang itu. Beliau mengarahkan siasatan penuh tetapi pada masa sama berkata keadilan telah ditegakkan.
Wood, 55, dihukum mati pada 1991 kerana menembak mati teman wanitanya dan teman wanitanya itu pada Ogos 1989.
Mayat Wood dibawa ke hospital untuk bedah siasat.
Wood adalah seorang daripaxda enam banduan yang menunggu hukuman mati yang menyaman kerajaan Arizona berhubung kerahsiaan bahan kimia yang digunakan untuk pelaksanaan hukuman di Ohio dan Oklahoma. Rayuannya gagal pada Rabu apabila membenarkan hukuman itu dilaksanakan.
sumber : astroawani.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan