Jakarta: Dia dibesarkan dalam rumah diperbuat daripada buluh di tebing sungai di kawasan kotor di Pulau Jawa.
Beberapa dekad kemudian budak dari kawasan terpinggir itu diangkat rakyat Indonesia menjadi presiden mereka dan yang ketujuh sejak ia merdeka. Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi bermula sebagai tokoh merendah diri yang aktif di luar lingkaran politik ketika Indonesia dicengkam amalan penguasaan melalui dinasti dan golongan elit dari era Suharto. Keputusan muktamad diumum malam tadi mengesahkan Jokowi memenangi persaingan sengit dalam pemilihan pada 9 Julai lalu.
Jokowi mengalahkan bekas jeneral era Suharto, Prabowo Subianto dengan perbezaan enam peratus.
Bekas Datuk Bandar Solo itu memperoleh 53 peratus (atau 70,997,895 undi) berbanding Prabowo 47 peratus (62,576,444 undi).
Menjelang pengumuman rasmi malam tadi Prabowo - bekas menantu Suhato - mengumumkan menarik diri daripada persaingan itu atas alasan berlaku banyak penyelewengan walaupun penganalisis bebas berkata, secara umumnya proses kali ini berlangsung dengan bersih dan adil. Pernah menjadi pengeksport perabot, Prabowo mencatat populariti lebih meninggi selepas dilantik menjadi Gabenor Jakarta pada 2012.
Pendekatannya yang secara langsung dan praktikal amat popular dalam kalangan rakyat ketika mereka sudah muak dengan amalan rasuah serta memencilkan ahli politik. Dia serang melawat kawasan terpinggir di Jakarta dengan cuma berpakaian biasa dan mengetepikan segala prosedur sebagai gabenor.
Jokowi juga gemar membuat pemeriksaan mengejut bagi memastikan pegawainya menjalankan tugas dengan betul. Walaupun dibebani tugasan yang berat, bapa kepada tiga anak itu masih memperuntukkan masa melayani minatnya kepada muzik heavy metal.
Pada kesempatan tertentu Jokowi pernah dilihat menghadiri konsert di Jakarta. Susilo Bambang Yudhoyono akan berundur daripada jawatannya tidak lama lagi selepas menjadi presiden selama dua penggal.
Perlembagaan Indonesia mengehadkan tempoh seseorang presiden hanya untuk dua penggal saja. Penganalisis Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa di Jakarta, Tobias Basuki berkata, ketokohan Jokowi adalah sesuatu yang baru untuk rakyat Indonesia.
“Mereka teruja mendapat pemimpin yang faham realiti di bawah,” katanya. Jokowi mendapat pendidikan perhutanan di sebuah universiti di Indonesia sebelum memulakan perniagaan perabot yang berjaya.
Dia menyertai politik sebagai Datuk Bandar Solo pada 2005. Antara kejayaan Jokowi selama tujuh tahun menduduki jawatan itu ialah memindahkan penduduk setinggan ke rumah pangsa dilengkapi tandas sistematik serta menyusun penjaja yang menyesakkan jalan raya ke kawasan pasar. Di Jakarta Jokowi memulakan beberapa projek pengangkutan awam bagi mengatasi kesesakan jalan raya.
Dia juga melaksanakan beberapa dasar mesra masyarakat miskin seperti memudahkan akses kepada rawatan perubatan. Namun sesetengah pihak masih tertanya-tanya terhadap kemampuan Jokowi menerajui Indonesia mendepani cabaran di peringkat antarabangsa.
Keterbatasan pengalamannya menjadikan keraguan berkenaan perlu diperhatikan. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan