KLIK.. Peluang Anda

Ahad, 27 Julai 2014

Larian Berapi

Foto
Kuala Lumpur: Seorang anggota detektif polis melecur di beberapa bahagian tubuh apabila kereta yang dinaikinya dibakar seorang lelaki tidak dikenali di Batu 6 1/2, Jalan Puchong, awal pagi semalam.
Mangsa, Koperal Elango Gopal dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sempat menyelamatkan diri dan berlari ke rumahnya yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.
Difahamkan, mangsa yang terbakar pada tangan, muka, bahu kanan dan badan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan oleh isterinya kira-kira jam 8 pagi.
Sumber berkata, sebelum kejadian itu, mangsa bersama dua rakannya menemui seorang pemberi maklumat di Petaling Jaya sebelum mereka singgah bersahur di sebuah restoran kira-kira jam 5 pagi.
“Dua lagi anggota memandu kereta milik persendirian manakala mangsa memandu kereta pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu Proton Waja berwarna kelabu.
“Selepas bersahur mereka bersurai dan pulang ke rumah masing-masing malangnya mangsa dipercayai diserang seorang lelaki sebelum dibakar bersama kenderaan berkenaan,” katanya.
Katanya, kereta berkenaan ditemui di kawasan perindustrian di Jalan Puchong iaitu satu kilometer dari rumah mangsa oleh anggota polis Balai Polis Sri Petaling.
“Isteri mangsa menghubungi rakan setugas suaminya sejurus menghantar mangsa ke hospital.
Difahamkan mangsa dalam keadaan stabil dan masih dirawat kerana melecur,” katanya.
Sementara itu, seorang saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Chew, 33 berkata, dia terdengar bunyi letupan kuat kira-kira jam 7 pagi.
“Saya segera membuka pintu rumah dan melihat api marak membakar sebuah kereta Proton Waja di depan kilang ini.
“Saya segera menghubungi bomba tetapi ketika pergi memeriksa kereta berkenaan saya lihat pemandunya sudah tiada,” katanya yang menyewa sebuah bilik di tingkat atas kilang berkenaan.
Katanya, pasukan bomba yang datang memadamkan kebakaran itu terkejut apabila menemui pelbagai buku log dan fail mengandungi dokumen milik PDRM.

sumber : hmetro.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cerita-Cerita Menarik