KOTA KINABALU: Badak sumbu Sumatra kini hampir kepupusan. Populasinya kini dianggarkan pada kadar 200 ekor sahaja dengan hanya 40 daripadanya berkeliaran di hutan Borneo.
Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) melakukan usaha terdesak bagi menghalang kepupusan spesis badak sumbu ini di wilayah utara kepulauan Borneo.
Usaha ini dilakukan melalui program pembiakan yang dijalankan kerajaan negeri Sabah hasil kerjasama dengan pakar-pakar luar negara termasuk Leibnitz Zoological and Wildlife Research Institute (IZW) di Berlin dan Zoo Leipzig.
Mereka menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada November 2010 bagi membolehkan dua rakan daripada Jerman itu memberi bantuan teknikal dan saintifik untuk mencegah badak sumbu Borneo dilanda kepupusan. Pengarah SWD Datuk Dr Laurentius Ambu telah berulangkali menjelaskan ancaman terhadap badak sumbu Sumatra ini dan menegaskan pihaknya akan menangkap mereka bagi memberi peluang badak sumbu Sumatra diselamatkan.
Di dalam tempoh dua dekad yang lalu, SWD telah melakukan usaha pembiakan yang serupa namun tidak berkesan. Kini mereka mengharapkan bantuan tenaga kepakaran daripada Jerman itu. Program tersebut sememangnya dilanda cabaran.
Pada Mac tahun ini, seekor badak sumbu betina telah berjaya dipindahkan ke kawasan pedalaman di Lembah Danum, bagi menyertai dua lagi badak sumbu – seekor jantan dinamakan Tam dan seekor betina yang dipanggil Puntung. Mereka dijaga di kawasan perlindungan badak sumbu Borneo di daerah Lahad Datu.
Badak sumbu tersebut dinamakan Iman sempena sebatang sungai di mana ia ditangkap. Usaha tersebut dianggap langkah terdesak bagi memastikan kepupusan spesis badak sumbu ini dapat dihalang.
Kabinet kerajaan negeri Sabah telah bersetuju pada Mac tahun ini bahawa satu-satunya langkah menyelamatkan badak sumbu Sumatra ialah dengan menggunakan khidmat kepakaran luar negara.
Kabinet turut bersetuju menghantar Tam ke Zoo Cincinnati di AS bagi menyertai program reproduksi. Bagaimana, kerana Iman kini ditemui, mungkin Tam tidak perlu mengembara sehingga ke bumi Amerika bagi mencari pasangannya.
Dua bulan kemudian, pakar pembiakan mamalia daripada Jerman dan Itali berjaya menghasilkan penemuan dengan memasukkan air mani Tam ke benih yang didapati daripada Iman (yang diambil pada 9 Mei).
Datuk Dr Junaidi Payne, salah seorang pakar di dalam bidang sejarah semulajadi dan ekologi di Sabah percaya, badak sumbu Borneo bukan hanya salah satu spesisi yang terancam, malah ia merupakan spesis yang paling terancam di dunia.
“Tanpa intervesi manusia, haiwan ini akan pupus. Harapan kita ialah dengan melakukan pembiakan jantan dan betina yang subur, dikawasan yang dilindungi,” ujarnya di dalam buku “Wild Sabah”.
“Sekiranya ada hidupan liar di Sabah yang perlu diselamatkan, ianya sudah tentu badak sumbu Sumatra ini,” tegas Payne, yang juga pengarah eksekutif Borneo Rhino Alliance (Bora), sebuah pertubuhan NGO bagi menjaga badak sumbu di Sabah.
Sumber : bm.theantdaily.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan