KLIK.. Peluang Anda

Ahad, 6 Julai 2014

Keindahan Gua Gomantong di Sabah

Diwartakan sebagai tempat Hidupan Liar Sedunia (WWF)



Gomantong adalah salah sebuah bukit batu kapor yang terbesar di Negeri Sabah. Bukit ini dikenali juga dengan nama Gua Gomantong kerana di dalamnya terdapat 27 buah gua-gua kecil batu kapor yang didiami oleh jutaan ekor burung layang-layang dan menghasilkan sarang burung yang boleh dimakan (Laurentius, 2001). Gua Gomantong terletak dalam kawasan Hutan Simpan Gomantong Kelas IV dalam Daerah Kinabatangan berkeluasan 3,297 hektar. Disebabkan oleh kepentingan ekonomi maka gua ini adalah salah sebuah gua yang dilindungi di bawah Enekmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Hidupan Liar Negeri Sabah

Tiada bukti artifak ataupun manuskrif yang boleh dikaitkan sebagai bukti sejarah penemuan Gua Gomantong. Walau bagaimanapun para sejarahwan tempatan menyatakan bahawa penemuan Gua Gomantong bermula 1782 lagi (Danny, 2000). Manakala dalam laporan Encik C. Bamfyles bertarikh Ogos 1882 menyatakan bahawa Pengiran Sandukung, datuk kepada Almarhum Pengiran Digadong Samah Al-Haj Bin Pengiran Ebey, adalah orang yang pertama menjalankan aktiviti memungut sarang burung di Gua Gomantong. Selanjutnya surat Keith H.G. kepada gobenor Jeselton bertarikh 31 Mac 1949, menjelaskan bahawa sebelum The North Borneo British Chartered Company mengambilalih pentadbiran di Sandakan, Gua Gomantong merupakan hak mutlak (exclusive property) dan di bawah kawalan Pengiran Digadong Samah Al-Haj yang mewarisi gua tersebut daripada ayahnya Pengiran Ebey Bin Pengiran Sandukung yang juga mewarisi daripada ayahnya bernama Pengiran Basag. Selanjutnya Keith H.G. menyatakan bahawa Pengiran Digadong Samah Al-Haj Bin Pengiran Ebey merupakan pemilik terakhir yang telah terkorban semasa menentang pentadbiran kolonial British.

Peralatan penuaian yang digunakan di Gua Gomantong adalah yang paling unik dan disusun mengikut sistem yang canggih. Semua peralatan ini telah digunakan sejak beberapa ratus tahun yang lalu dan masih terpakai sehingga zaman cyber kini. Peralatan yang dimaksudkan adalah seperti Gegolog, Piattau, Tallok Piattau, Sesungkit, Ambomg, Sarapong, Dandan, Kettir dan Jampong. Semua peralatan yang digunakan adalah diperbuat daripada rotan, kayu jenis keras, bambu / buloh dan dawai. Selain digunakan di Gua Gomantong, peralatan ini juga digunakan di Gua Madai dan Gua Batu Timbang.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cerita-Cerita Menarik