Dato' Sharifah Aini binti Syed Jaafar (2 Julai 1953 - 5 Julai 2014) adalah seorang penyanyi tersohor di Malaysia yang dikenali sebagai "Biduanita Negara" selepas Allahyarhamah Puan Sri Saloma. Beliau telah memenangi tempat pertama dalam pertandingan Bintang RTS 1968 dengan mendendangkan lagu "Tiga Malam".
Di Malaysia, beliau juga merupakan satu-satunya artis yang paling lama bertahan dengan satu syarikat rakaman iaitu EMI Malaysia. Sebagai satu penghargaan, nama beliau telah diabadikan dalam Malaysian Book of Records bagi membalas jasa dan budi beliau kepada negara yang telah membawanya hingga ke peringkat antarabangsa.
Biografi
Sharifah Aini dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor, dan dibesarkan di Kampung Majidee, Johor Bahru. Beliau tinggal bersama datuk serta neneknya, dan bersekolah di sekolah agama bahasa Arab. Sharifah berkebolehan mengalunkan ayat suci al-Quran dah pernah menjuarai tilawah Al-Quran beberapa kali pada usia mudanya. Sewaktu kecil lagi, Sharifah sudah terkenal di Johor. Selain aktif dengan bidang nyanyian di sekolah, Sharifah juga turut menolong neneknya menjual pelbagai jenis kuih hasil buatan neneknya sendiri di merata tempat di Johor. Di usia belasan tahun pula, Sharifah telah bersekolah di Sekolah Menengah Sultan Ismail, Johor Bahru. Beliau begitu popular sewaktu di zaman sekolahnya dahulu. Sharifah sering diundang menyanyi di majlis-majlis anjuran sekolah setiap kali majlis diadakan. Sharifah bukan sahaja sering diundang menyanyi di sekolahnya, malahan di sekolah-sekolah lain di Johor Bahru seperti Sekolah Menengah Sultan Ibrahim Girl School, Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Tun Aminah dan Sekolah Menengah Tun Fatimah juga turut mengundangnya menyanyi ketika mengadakan sebuah majlis tertentu di sekolah tersebut. selain memenuhi undangan nyanyian di beberapa majils anjuran sekolah, Sharifah juga menjadi artis jemputan di majlis-majlis perkahwinan dan juga majlis perasmian. Setelah menamatkan pengajian hingga di Tingkatan Lima di sekolahnya, beliau berhasrat untuk menceburi bidang nyanyian. Selain berminat dalam bidang nyanyian, Sharifah juga pernah bercita-cita untuk menceburi bidang kedoktoran. Namun, beliau akhirnya memilih jalan untuk ke bidang nyanyian kerana itulah jalan terbaik bagi meringankan beban datuknya untuk menyara hidup mereka yang ketika itu amat susah.
Pembabitan awal
Kerjaya seni Sharifah Aini bermula apabila beliau memasuki pertandingan nyanyian Bintang RTS di Singapura pada tahun 1968 dengan membawa lagu berjudul "Tiga Malam" dan sekaligus dinobatkan sebagai "Juara Bintang RTS" 1968. Selepas kemenangannya, beliau dilamar oleh syarikat rakaman EMI pada tahun 1969. Album pertamanya yang berjudul Seri Dewi Malam telah diterima dengan hebatnya oleh peminat ketika itu. Sharifah bukan sahaja bekerjasama dengan syarikat rakaman EMI Malaysia, Beliau juga telah bekerjasama dengan syarikat rakaman EMI Singapura.
Kejayaan
Setelah menjadi artis rakaman, Sharifah telah banyak menyanyikan pelbagai lagu dan menghasilkan hampir 93 album, termasuk 7 album lagu bahasa Inggeris. Beliau bukan sahaja terkenal di Malaysia, nama beliau juga tersohor di beberapa negara serantau di Asia seperti Jepun, Korea, Hong Kong, China, Singapura, Brunei dan Indonesia. Lagu Seri Dewi Malam telah menjulang nama beliau sebagai artis pujaan ketika itu. Bakat Sharifah menyerlah apabila telah diasah bakatnya oleh seorang penggubah lagu terkenal iaituDatuk Ahmad Nawab. Lagu ciptaan Ahmad Nawab untuknya begitu berkesan kepada industri muzik dan juga semua peminat Sharifah Aini.
Sharifah juga banyak mengadakan persembahan dan mengadakan beberapa konsert besar di beberapa negara di Asia dan Timur Tengah seperti Kuwait. Beliau juga mempunyai peminat dari pelbagai golongan bangsa dan umur. Pada tahun 1976, beliau menyanyikan duet dengan Artis No. 1 Indonesia, Broery Marantika. Lagu duet mereka, iaitu Seiring Dan Sejalan telah menjadi siulan peminat di Malaysia dan Indonesia sekaligus melonjakkan namanya dalam industri muzik tanah air. Setelah melebihi 30 tahun dalam bidang hiburan, beliau telah melebarkan sayap dalam bidang perniagaan.
Pada tahun 2003, beliau telah mengadakan konsert di Istana Budaya iaitu Konsert Simfoni Ghazal Bersama Datuk Sharifah Aini. Konsert besar yang diadakan di pentas bertaraf dunia itu juga didatangi oleh Bekas Perdana Menteri Malaysia iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama isteri, Tun Dr. Siti Hasmah. Konsert yang begitu mewah dan berprestij itu mendapat sambutan yang begitu menggalakkan. Kesemua penjualan tiket laris dijual. Sebelum ini, Sharifah aini juga pernah mengadakan konsert di Singapura iaitu di Victoria Concert Hall pada tahun 2000. Paling membanggakan, beliau merupakan satu-satunya artis pertama Malaysia dan Asia yang telah diberikan penghormatan untuk mengadakan persembahan di Victoria Concert Hall yang selama ini hanya dikuasai oleh artis Barat. Sambutan yang diberikan begitu menggalakkan dan kesemua penjualan tiket laris terjual.
Sharifah telah menubuhkan syarikat beliau sendiri iaitu Pods And Pedal Giftlab. Pada tahun 2003, beliau telah menerima Pingat Panglima Jasa Negara yang membawa gelaran Datuk oleh Yang Di Pertuan-Agong, Sultan Syed Sirajjudin Putra Jamalullail kerana sumbangannya yang begitu besar dan tidak ternilai kepada bidang seni negara.
Pada 16 Ogos yang lalu, Sharifah telah mencatat sejarah yang besar dalam negara apabila beliau berjaya mengadakan konsert "Muzika Arabia Bersama Datuk Sharifah Aini" diIstana Budaya selama tiga malam berturut-turut. Aura tersendiri dan kelebihan beliau dalam menyanyikan lagu Arab dengan begitu baik sekali telah menarik penonton yang begitu ramai baik di dalam dan luar negara. Ia sekaligus menjadikan Sharifah sebagai artis pertama yang diberikan penghormatan untuk mengadakan konsert yang mempunyai unsur budaya di Timur Tengah. Sebagai penghargaan, beliau telah diberikan gelaran "Permata Negara"oleh Menteri Kebudayaan Dan Kesenian, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan juga beberapa pihak lain.
Era Sharifah Aini
Di era kegemilangan Sharifah Aini dahulu, di era 70-an, Sharifah adalah artis Malaysia pertama yang membawa gelaran Superstar. Gelaran ini diberikan kepadanya sebagai tanda penghormatan di atas kejayaannya yang telah mengharumkan nama negara sekaligus mencipta nama di peringkat antarabangsa. Selain beliau, artis lain yang juga memegang gelaran yang sama ialah Anita Sarawak. Artis wanita yang juga terkenal di era 70-an adalah Uji Rashid.
Pernah suatu ketika dahulu, Sharifah Aini dan Anita Sarawak dikatakan bersaing. Banyak juga pihak yang mengkritik mereka dari segi pakaian dan juga penampilan. Namun begitu, Sharifah tetap laris dengan menggunakan suaranya. Beliau juga merupakan ikon kepada masyarakat.
Di era 70an dahulu, artis yang sering menjadi penghias muka depan majalah kebanyakannya adalah artis wanita yang terkenal. Antara artis yang pernah menjadi penghias muka depan majalah ialah seperti Sharifah Aini, Anita Sarawak, dan Uji Rashid. Tiga artis wanita terkenal ini merupakan antara artis paling laris ketika itu. Sharifah adalah antara artis penghias muka depan majalah yang terlaris di Malaysia.
Populariti
Sharifah bukan sahaja mengadakan persembahan di rantau Asia, beliau juga telah mengadakan beberapa konsert di Eropah dan populariti Sharifah begitu meluas di Asia Timur Tengah. Selain itu, beliau juga mempunyai peminat yang begitu ramai di Timur Tengah.
Ketika popularitinya sedang memuncak di era 70an dahulu, Sharifah juga menerima pelbagai-bagai gelaran. Antaranya seperti Elizabeth Taylor Malaysia, Dolly Parton Malaysia,Sparkles Diamond Of EMI Malaysia Ratu Muzik Malaysia dan berbagai lagi. Sharifah Aini juga pernah diberi gelaran Royalty Singer oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad kerana beliau adalah artis paling banyak menghasilkan album ketika itu.
Autobiografi
Pada tahun 2005, beliau telah menerbit sebuah novel. Novel tersebut berjudul 55 Reason Why Sharifah Aini Was Not Lying. Ia mengisahkan tentang segala dugaan dan onak duri cabaran serta keperitan hidup beliau selama bergelar anak seni. Paling menarik, novel ini bukan sahaja dijual di Malaysia, ia juga dijual di beberapa negara di Asia seperti Singapura, Indonesia, Brunei, Hong Kong, dan Jepun. Beberapa novel yang juga membabitkan beliau ialah seperti novel Biografi Tokoh Wanita Malaysia, The Malaysian Peakdan A tribute To A Woman In Malaysia.
Kematian
Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini meninggal dunia pada pukul 1.26 pagi pada 5 Julai 2014, di Pusat Perubatan Pakar Damansara, dari komplikasi fibrosis paru paru (pulmonaty fibrosis). Allahyarhamah berusia 61 tahun. Allahyarhamah telah dimasukkan ke unit rawatan rapi di Pusat Perubatan Pakar Damansara pada hari Selasa lalu. Jenazah akan dibawa ke Masjid At Taqwa selepas solat Subuh dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara sebelum solat Zohor
Pencapaian
Setelah berusaha keras dalam memperjuangkan diri dalam bidang seni, usaha dan bakat yang dimiliki oleh beliau akhirnya diiktiraf oleh industri muzik tanah air. Sharifah telah menerima pelbagai anugerah yang telah membawanya hingga ke luar negara sekaligus meletakkan dirinya di tahap antarabangsa setanding dengan artis-artis popular di Asia. Antara anugerah yang pernah diterima oleh beliau ialah seperti Anugerah Penghibur Terbaik (Anugerah Sri Angkasa 1972-1977), Anugerah Penghibur Wanita Popular 1970-1976, 1979 (Persatuan Pencipta Lagu, Penyanyi Dan Penghibur Tanah Air), Anugerah Aktres Terbaik (Hapuslah Airmatamu-Festival Filem Asia Pasifik 1977), Anugerah Seri Wirama (Anugerah Industri Muzik 2000), Anugerah Biduanita Sepanjang Zaman (Darjah Kebesaran Sultanah Kedah), Anugerah Emas Era (Anugerah Era 2002), Anugerah Khas Bintang Popular (Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003), Anugerah Tertinggi Biduanita Negara (Anugerah Kecapi 2006).
Biduanita Lagenda
Datuk Sharifah Aini adalah satu-satunya artis Malaysia yang digelar Biduanita Negara selepas Allahyarhamah Puan Sri Saloma memegang gelaran tersebut. Ia adalah gelaran yang tertinggi dan gelaran seperti ini hanya diberikan kepada artis wanita yang begitu berjasa kepada rakyat, negara dan juga membawa nama hingga ke tahap antarabangsa. Ia adalah suatu penghormatan kepada Sharifah Aini setelah lama penghormatan ini diberikan kepada Saloma. Kini, selain gelaran Biduanita Negara seperti gelaran Biduanita Muda Negara, artis yang menyandang gelaran ini adalah Siti Nurhaliza. Gelaran tersebut pernah disandang oleh Datuk Sharifah Aini sewaktu di zaman kegemilangannya dahulu. Beliau telah menerima Anugerah Tertinggi Biduanita Negara di Anugerah Kecapi anjuran RTM. Penerimaan anugerah tersebut adalah sebagai tanda penghormatan kepada beliau yang telah lama memperjuangkan diri dalam bidang seni suara sekaligus telah mengharumkan nama negara hingga ke arena seni antarabangsa.
Kontroversi
Pada tahun 1978, telah berlakunya suatu pertelingkahan antara Sharifah dan ibunya. Pertelingkahan antara Sharifah dan ibunya telah menyebabkan isu Sharifah mahu menyaman ibunya. Setelah lama kes ini dibicarakan, akhirnya kes tersebut telah selesai setelah Sharifah dan ibunya berbaik semula
Pada tahun 2004, Sharifah Aini dituduh memfitnah penyanyi popular Siti Nurhaliza. Beliau didakwa menyiarkan beberapa tuduhan tertentu yang memfitnah Siti Nurhaliza melalui emel kepada adik angkatnya Ahmad Shaharil Jamaluddin, pensyarah di sebuah kolej di Pulau Pinang, pada 24 Ogos 2004. Kes tersebut berakhir dengan dibuang tanpa perbicaraan.
Perkahwinan di ambang perceraian
Pada tahun 1981, telah berlakunya peristiwa yang bersejarah iaitu perkahwinan Sharifah Aini dengan suaminya, Ali Bakar. Namun, perkahwinannya hanya bertahan selama setahun selepas Sharifah melahirkan anaknya, Aliff. Perceraian itu berlaku setelah Sharifah Aini mendapati bahawa suaminya itu mempunyai seorang isteri sebelum menikahinya. Setelah beliau bercerai dengan suaminya, Sharifah telah mengahwini dengan seorang ahli korporat yang berpangkat Datuk di luar negara. Perkahwinan kali kedua yang dibina oleh Sharifah juga gagal bertahan. Sharifah telah bercerai dengan suami keduanya pada tahun 1992.
Mentor
Datuk Sharifah Aini dipelawa untuk menjadi salah seorang mentor untuk rancangan realiti Mentor 5
Sumber : http://ms.wikipedia.org/wiki/Sharifah_Aini#Biografi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan