KLIK.. Peluang Anda

Sabtu, 12 Julai 2014

Dimanakah Kekuatan Filem P. Ramlee?



Sepanjang hidupnya, P Ramlee terlibat dalam 66 filem sebagai pelakon, penulis lakon layar dan/atau pengarah. Daripada jumlah itu, 38 buah dianggap evergreen. Manakala dalam 65 filem berkenaan, P Ramlee sendiri berlakon sama ada sebagai pelakon utama (62) atau pelakon undangan (3).
Bagi filem Panca Delima (1957), P Ramlee menjadi pengarah manakala Jins Shamsuddin diberikan peluang kali pertama untuk berlakon sebagai pelakon utama.
Filem pertama arahan P Ramlee ialah Penarek Becha (1955) yang segera pula mengingatkan penonton kaum India kepada filem Tamil Riksha Kaaran lakonan MGR. Filem terakhir P Ramlee ialah Laksemana Do Re Mi (1972) iaitu sequel kepada Do Re Mi (1966) dan Nasib Do Re Mi (1966).
Dari satu segi, P Ramlee disamakan dengan Rajnikantah kerana kedua-duanya muncul dalam arena perfileman sebagai pelakon watak jahat. Bagi P Ramlee, beliau memegang watak jahat dalam filem pertama berjudul Chinta (1948) sebelum muncul sebagai hero dalam filem Bakti (1948).
Kemampuan P Ramlee membawakan watak bapa yang penyayang dan anak yang rosak akhlak dalam Anakku Sazali (1956) ketara mengingatkan penonton kaum India terhadap penampilan watak-watak seumpama itu oleh Sivaji Ganesan dalam beberapa filem Tamil.
Filem-filem P Ramlee yang terus digemari adalah Ali Baba Bujang Lapok (1961), Anakku Sazali (1956), Antara Dua Darjat (1960), Bujang Lapok (1957), Do Re Mi (1966), Gerimis (1968), Hang Tuah (1956), Ibu Mertuaku (1962), Labu dan Labi (1962), Laksemana Do Re Mi (1972), Madu Tiga (1964), Nasib Do Re Mi (1966), Nasib Si Labu Labi (1963), Nujum Pak Belalang (1959), Pendekar Bujang Lapok (1959), Seniman Bujang Lapok (1961), Sumpah Orang Minyak (1958) dan Tiga Abdul (1964).
Secara umum, jelas bahawa penonton kaum India (khususnya generasi muda) meminati filem-filem komedi lakonan dan arahan P Ramlee. Filem-filem “air mata” dan kekeluargaan juga diminati, khususnya oleh generasi tua.
P Ramlee menerima banyak unsur “India” sepanjang penglibatan beliau dalam dunia filem Melayu. Filem Ibu Mertuaku (1962) ternyata sangat rapat dengan tema dan persoalan yang dikemukakan dalam filem-filem Tamil.
Filem berkenaan menjadi lebih istimewa dengan penampilan Mak Dara sebagai ibu mentua. Dialog “Alaaa, Kassim” pernah menjadi ikutan ramai. Kekuatan P Ramlee juga terletak pada kesungguhan beliau memilih pelakon-pelakon sampingan yang benar-benar sesuai dan berbakat.
Pengaruh kuat budaya India
P Ramlee turut mengatakan, “salah satu daripada rahsia kejayaan dalam segala lapangan ialah memberi apa yang dihajatkan ramai dan bukan memaksa ramai menerima yang kita fikirkan” (mengenai Nasib Si Labu Labi) dan “saya membuat filem ini bukan untuk diri saya tetapi untuk mereka yang menjadi penontonnya” (mengenai Putus Sudah Kasih Sayang) serta “siapa makan cili, dialah yang terasa pedasnya” (mengenai Madu Tiga).
Filem Kanchan Tirana (1969), walaupun tidak menjadi antara filem kegemaran kaum India, masih mempunyai pengaruh kuat dari India. P Ramlee sendiri mengakui bahawa “kanchana” (emas) dan “tirana” (cahaya) adalah perkataan Sanskrit. “Kanchana Tirana” diubah sedikit menjadi Kanchan Tirana supaya lebih mudah dan menarik disebut.
Gaya P Ramlee membuat filem Melayu banyak menerima pengaruh dari filem-filem di India – dari segi muzik, lakonan, pakaian, cerita dan dialog. Malah, usah lupa bahawa bakat P Ramlee “ditemui” atau “dikesan” oleh seorang dari India.
Memang itulah fakta. Pengarah filem dari India, B.S. Rajhans dari Studio Jalan Ampas “mengesan” P Ramlee sewaktu remaja berkenaan sedang menyampaikan lagu “Azizah” di Butterworth pada Jun 1948.
Filem Hang Tuah (1956) adalah satu-satunya filem warna P Ramlee. Filem berkenaan membantu beliau membawa pulang Anugerah Skor Muzik Terbaik pada Festival Filem Asia di Hong Kong. Filem ini juga mempunyai “suntikan” India kerana diarah oleh Phani Majumdar dari India.
Pengaruh “India” turut terpancar pada aspek tema dan persoalan, lakonan, pakaian, muzik latar dan seumpananya dalam filem-filem P Ramlee. Menonton filem-filem P Ramlee – sama ada filem komedi atau filem “air mata” – pasti membuatkan penonton kaum India teringat akan filem-filem Tamil dan Hindi dari India.
Lagu-lagu P Ramlee turut menerima pengaruh budaya India dari segi seni kata, muzik, irama dan raga. Malah, terdapat pula lagu-lagu P Ramlee yang terlalu hampir dengan lagu-lagu Tamil; dan terbukti memang menerima “pengaruh” yang terlalu kuat.
Lagu-lagu P Ramlee sedap didengar dan sedap pula dinyanyikan. Liriknya indah, melodinya indah, iramanya indah dan semuanya indah. Lagu-lagu ini masih sesuai dinyanyikan oleh semua kaum – sebagaimana lagu-lagu kumpulan Alleycats. Lagu-lagu berkenaan berciri evergreen dan dekat dengan jiwa kaum India.
Tidak hairanlah beberapa filem yang tidak dilakonkan oleh P Ramlee turut memuatkan lagu-lagu beliau. Antaranya: Batu Belah Batu Bertangkup, Gergasi, Empat Isteri, Belantara, Derita, Panca Delima dan Si Tunggal.
Tidak menghina kaum lain
Catatan ini bukan bertujuan membuat kesimpulan bahawa kaum India menggemari filem-filem dan lagu-lagu P Ramlee semata-mata kerana wujud unsur “India”. Sebaliknya, untuk menunjukkan bahawa seniman agung berkenaan bersedia – dan berusaha – meminjam serta pengambil pengaruh dari pelbagai kaum.
Pengaruh dan unsur pinjaman daripada kaum Cina juga ketara dalam filem-filem beliau. Ramai pasti mengingati dialog “Hidup pun susah, mati pun susah” dari filem Madu Tiga serta “Lompat, apek lompat” dari filem Ali Baba Bujang Lapok.
Kedua-dua watak Cina (agaknya) dilakonkan oleh pelakon Melayu. Namun, pembawaan watak cukup meyakinkan. Kedua-dua watak berkenaan juga merupakan watak komedi. Namun, tidak timbul keadaan di mana watak berkenaan dihina atau didiskriminasi.
Itulah satu lagi kelebihan dan sikap P Ramlee yang disukai ramai. Lawak dalam filem-filem beliau adalah bersahaja, spontan – tetapi tetap tidak keterlaluan; apatah lagi berciri perkauman. Dalam hidupnya sendiri, P Ramlee mempunyai seorang anak angkat keturunan Cina iaitu Dian P Ramlee.
Salah seorang rakan P Ramlee ialah Kwek Chip Jian yang menjadi pengurus Studio Jalan Ampas. Khabarnya pada suatu hari, P Ramlee sedang cuba menulis lirik bagi sebuah lagu yang sedang digubah.
Kwek dilaporkan melangkah masuk ke studio lalu P Ramlee secara spontan menyanyi “kwek kwek kwek kwek kwek … mambo, hei mambo”. Maka terhasil korus bagi lagu “Kwek Mambo”.
Pasangan adik-beradik Run Run Shaw dan Runme Shaw menubuhkan Shaw Brothers yang merupakan pemilik Studio Jalan Ampas dan Studio Ulu Kelang. P Ramlee mengarah 16 filem di Studio Jalan Ampas dan 18 filem di Studio Ulu Kelang. Malah, Shaw Brothers juga memegang hak cipta filem-filem P Ramlee.
Krew dalam pembikinan filem-filem P Ramlee turut terdiri daripada pelbagai kaum. Misalnya, beliau sering menggunakan khidmat fotografer kaum Cina. Peluang diberi berdasarkan bakat dan kebolehan; bukan berdasarkan kriteria-kriteria lain.
Semasa zaman pendudukan Jepun (1942-1945), P Ramlee belajar di Japanese Navy School. Pada tahun 1958, P Ramlee melakonkan watak utama filem Sergeant Hassan yang membawa kisah penaklukan Malaya oleh tentera Jepun. P Ramlee turut mengarah filem berkenaan berikutan keputusan pengarah asal, Bat Avallana pulang ke Filipina sebelum penggambaran selesai.
Pengaruh “Jepun” juga diterima daripada Akira Kurosawa. Pengarah filem Jepun berkenaan merupakan sumber inspirasi kepada P Ramlee. Dua daripada filem terhebat Akira yang diminati P Ramlee adalah Rashomon (1951) dan The Seven Samurai (1954).
Pembikin filem sekarang perlu belajar
Kebanyakan kenalan saya daripada kalangan kaum India tidak meminati filem dan drama Melayu masa kini atas alasan “membosankan”, “terlalu Melayu”, “lawak bodoh”, “menghina kaum Bukan Melayu”, “klise” dan “tidak bersifat Malaysia”.
Masih ada rakan-rakan yang menonton filem dan drama Melayu, namun mereka juga mempunyai pandangan yang sama terhadap filem dan drama berkenaan.
Rata-rata sependapat bahawa filem-filem dan drama-drama Melayu masa kini adalah “oleh Melayu, tentang Melayu, untuk Melayu”. Kenyataan ini bukan bertujuan mewujudkan ketegangan antara kaum tetapi sekadar mengungkap realiti filem Melayu tempatan.
Untuk rekod, tidak benar kenyataan yang dilakukan (jika ada) oleh mana-mana pihak bahawa kaum India tidak menyokong filem Melayu.
Kaum India di Malaysia sesungguhnya meminati – atau sekurang-kurangnya tidak prejudis terhadap – filem Melayu. Akan tetapi, kepincangan yang wujud dalam pembikinan filem Melayu itu sendirilah yang membuatkan khalayak kaum India “terpisah” jauh dan/atau menjauhkan diri.
Tentu sahaja belum terlewat bagi pembikin filem Melayu untuk cuba memancing semula penonton kaum India daripada kalangan generasi muda. Apatah lagi dalam keadaan kini di mana khalayak Melayu sendiri nampaknya lebih suka menonton filem Hindi (dan Tamil juga!) berbanding filem Melayu.
Pembikin filem Melayu yang ingin menjadi “tokoh filem Melayu” – atau sekurang-kurangnya ingin menarik khalayak kaum India ke panggung – wajar berguru semula.
Lupakan sebentar kecanggihan teknologi pembikinan filem yang dimiliki. Lupakan sebentar kelayakan akademik yang dimiliki. Lupakan sebentar ego dan ketuanan.
Bergurulah pada filem-filem Seniman Agung P Ramlee. Semua formula yang dicari-cari untuk menarik khalayak pelbagai kaum menonton filem Melayu terhimpun kemas di dalamnya.
Sumber : freemalaysiatoday online
Uthaya Sankar SB adalah penulis sepenuh masa dan kolumnis FMT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cerita-Cerita Menarik