Tokyo: Seorang saintis kanan Jepun yang terbabit dalam skandal penyelewengan sel dasar ditemui mati dipercayai membunuh diri semalam.
Yoshiki Sasai, 52, pernah menyelia dan bekerjasama menghasilkan laporan penyelidikan sel dasar yang terpaksa ditarik balik berikutan isi kandungannya dipalsukan.
Polis daerah Hyogo berkata mayat Sasai ditemui tergantung di bangunan penyelidikan kerajaan, RIKEN, di Kobe. Seorang pengawal keselamatan menemui dia dalam keadaan nazak dan Sasai dikejarkan ke hospital namun disahkan mati dua jam kemudian. Menurut polis, beberapa nota terakhirnya ditemui pada mayat Sasai. Bagaimanapun polis enggan mendedahkan isi kandungannya.
Media tempatan melaporkan tiga pucuk surat yang ada bersamanya dialamatkan kepada penulis bersama laporan penyelidikan itu, Haruko Obokata, pegawai kanan pusat penyelidikan itu dan rakan penyelidik lain.
Kumpulan penyelidik yang diketuainya menarik balik laporan penyelidikan itu daripada jurnal sains Britain, Nature berikutan tindakan Haruko melakukan penyelewengan dalam penyelidikan berkenaan. - AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan