Cardiff: Polis menemui secara tidak sengaja ladang ganja dalam kawasan hospital pesakit mental ketika mereka menjalankan operasi mengesan orang hilang.
Media tempatan melaporkan, penemuan itu dibuat pada 30 Jun lalu, tetapi hanya didedahkan semalam.
Jurucakap polis berkata, penyiasat menemui 30 pokok ganja ditanam di dalam satu daripada wad hospital berkenaan.
Katanya, nilai dadah itu di pasaran dianggar mencecah £32,000 (RM172,000).
“Wad itu tidak digunakan beberapa dekad lalu,” katanya.
Menurut jurucakap polis, hospital berkenaan terletak di Whitchurch, Cardiff.
Katanya, ahli kumpulan sindiket dadah itu dipercayai mencuri bekalan elektrik hospital bagi memasang lampu ultraungu dan kawalan pengudaraan.
Penanaman ganja memang memerlukan haba yang banyak dan sindiket dadah biasanya menggunakan lampu berkuasa tinggi bagi membesarkan pokok berkenaan.
Jurucakap polis berkata, kini mereka memburu pihak bertanggungjawab menanam serta mengendalikan ladang berkenaan.
Sementara itu, pegawai kanan polis Cardiff berkata, mereka mengesahkan kejadian berlaku di Hospital Whitchurch.
Katanya, ketika anggota polis memeriksa wad berkenaan untuk mengesan seseorang yang dilaporkan hilang, mereka terkejut menemui pokok ganja di dalamnya.
Sementara itu, Lembaga Kesihatan Universiti Vale dan Cardiff berkata, mereka akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan polis.
Sementara itu, Lembaga Kesihatan Universiti Vale dan Cardiff berkata, mereka akan memberi kerjasama penuh dalam siasatan polis.
Pengarah perancangannya, Abigail Harris berkata, kejadian begitu memang dijangka berlaku ke atas bangunan yang sudah lama ditinggalkan.- Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan