KLIK.. Peluang Anda

Sabtu, 2 Ogos 2014

Maut Kalau Makan Roti

Foto
Baltimore (Amerika Syarikat): Kebanyakan kanak-kanak tidak akan berfikir dua kali sebelum menerima manisan serta gula-gula. Namun bagi Evan Grimes ia boleh membawa maut.
Kanak-kanak malang berusia 18 bulan ini mempunyai terlalu banyak alahan sehingga hanya mampu makan 11 jenis makanan selain terpaksa sering memakai sarung tangan untuk menghalangnya menggaru badannya sehingga berdarah disebabkan ruam yang sentiasa memenuhi tubuhnya.
Asid sitrik bahan yang biasa ditemui dalam minuman ringan, gula-gula dan roti boleh mengakibatkannya menjadi buta atau maut jika EpiPen (pen suntikan Epinefrin) tidak digunakan segera.

Jadi untuk mengelak nyawanya diletakkan dalam bahaya, ibunya Toya, 28, berjaya menyenaraikan hanya 11 makanan ‘selamat’ untuk anaknya itu.
Toya pertama kali merasakan sesuatu tidak kena dengan anaknya ketika Evan baru berusia dua bulan selepas kulit di sekitar matanya melepuh akibat jangkitan kuman.
Bayi itu diberikan steroid untuk meredakan kesakitannya, namun Evan terus mengalami masalah kulit teruk yang menyakitkannya sehingga kulit wajahnya nampak seperti melecur dan nipis.

“Ketika mula melihat tanda-tanda alahan padanya saya memakaikan sarung tangan bayi untuk menghalangnya daripada menggaru. 

“Namun disebabkan terlalu gatal dia menggosok wajahnya menggunakan tangannya yang bersarung sehingga semakin melarat.

“Saya begitu risau dan tidak tahu apa punca alahannya menyebabkan dia sering gatal-gatal dan melepuh. Katil bayinya sentiasa dipenuhi darah,” katanya.

Menurutnya, seorang pakar dermatologi mencadangkan kemungkinan Evan alah terhadap asid sitrik berdasarkan pemerhatian terhadap pemakanannya.

Namun doktor enggan membuat ujian alahan terhadap Evan kerana mendakwa usianya terlalu muda.

“Saya merayu mereka membuat ujian kerana jelas anak saya merana. Dia menangis dan badannya berlumuran berdarah hampir setiap hari namun mereka enggan melayan permintaan itu,” katanya.

“Saya rasa tidak berdaya, kasihan melihat anak menderita seperti itu,” katanya.

Namun keadaan menjadi lebih baik selepas seorang pakar kulit yang tidak sampai hati melihat keadaan Evan bersetuju membuat ujian alahan ketika bayi itu berusia 15 bulan.

“Dia menangis apabila melihat keadaan Evan dan terus mengarahkan ujian darah dibuat,” katanya.

Hasilnya, Evan didapati mempunyai 46 alahan termasuk terhadap asid sitrik, kentang, kekacang, produk tenusu dan gandum seterusnya dia dirujuk kepada pakar dermatologi dan pakar pemakanan.

Kini Toya berjaya menyenaraikan 11 makanan ‘selamat’ untuk anaknya itu yang antaranya termasuk ayam belanda, kacang panjang, lobak merah, epal, anggur, pear dan sayuran hijau. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cerita-Cerita Menarik