KLIK.. Peluang Anda

Jumaat, 15 Ogos 2014

Pengantin silap rumah

Sanaa (Yaman): Seorang pengantin perempuan dibawa ke rumah pengantin lelaki lain oleh rombongan yang mengiringinya.
Dia hanya dimaklumkan mengenai kejadian yang memalukan itu pada saat akhir.
Penduduk kampung berhampiran Sanaa berbaris di sepanjang jalan raya untuk menyambut ketibaan pengantin perempuan berkenaan yang menaiki sebuah kereta mewah dengan diiringi kenderaan lain sambil mereka membunyikan hon kenderaan masing-masing untuk memeriahkan suasana.
Apabila rombongan itu tiba di rumah pengantin lelaki terbabit, satu rombongan pengantin perempuan lain juga berhenti berhampiran rumah sama.
“Hon kenderaan dan muzik dihentikan tiba-tiba dan orang ramai mula ketawa.
Anggota keluarga pengantin lelaki meluru keluar dari rumah dan memberitahu rombongan pengantin perempuan pertama bahawa mereka tersilap pengantin lelaki dan salah rumah,” lapor media tempatan, semalam.

200 pesakit hidup diisytihar mati

Melbourne: Sebuah hospital semalam memohon maaf selepas tersilap menghantar notis kepada doktor lebih 200 pesakit untuk memaklumkan mereka bahawa pesakit terbabit meninggal dunia.
Notis itu sepatutnya dihantar untuk memberitahu bahawa pesakit berkenaan sudah dibenar pulang.
Kesilapan Hospital Austin di Melbourne itu dikesan dalam masa beberapa jam dan doktor dimaklumkan mengenai kekeliruan itu.
Bagaimanapun, ia agak terlewat apabila seorang doktor menghubungi keluarga pesakitnya untuk mengucapkan takziah.
Austin Health yang mentadbir hospital itu berkata, ia tersilap menghantar notis berkenaan selepas perubahan pada templat notis pemberitahuan kematian pada komputer digunakan untuk templat notis pemberitahuan keluar hospital.
“Sebaik menyedari kesilapan itu, kami serta-merta menghubungi semua doktor terbabit.
Kami memohon maaf dan mengaku ia kesilapan di pihak kami,” kata jurucakap Austin Health, Taryn Sheehy.
Presiden Persatuan Perubatan Australia cawangan Victoria, Tony Bartone berkata, kesilapan itu tidak boleh diterima.

- AFP

Restoran robot

Foto
Kunshan: Sebuah restoran di sini menarik pelanggan dengan mengguna belasan robot untuk memasak dan menghantar makanan.
Pekerja mekanikal itu menyambut pelanggan, menghantar makanan ke meja, malah memasak makanan di restoran yang dibuka secara rasmi minggu lalu.
“Anak saya meminta saya mencipta robot kerana dia tidak gemar melakukan kerja rumah,” kata pengasas restoran Song Yugang.

Dua robot ditempatkan di pintu untuk mengala-alukan ketibaan pelanggan, sementara empat digunakan untuk menghantar makanan ke meja.
Di dapur, dua robot biru dengan mata merah menyala digunakan untuk memasak sementara satu lagi ditugaskan untuk membuat kuih.


Menurut Song, setiap robot berharga kira-kira 40,000 yuan (RM21,000), hampir sama dengan gaji tahunan pekerja biasa.

“Robot itu boleh memahami 40 ayat yang biasa digunakan setiap hari. Mereka tidak akan sakit atau memohon cuti. Selepas dicas selama dua jam, mereka boleh bekerja selama lima jam,” kata Song.

Restoran itu bagaimanapun bukan yang pertama menggunakan khidmat robot.

Sebuah restoran di Harbin, timur laut China menggunakan khidmat pekerja seperti itu sejak 2012.

Bagaimanapun, robot yang digunakan untuk memasak mempunyai kepintaran terhad. Mereka perlu dibantu oleh pekerja biasa.

Namun pelanggan, khususnya kanak-kanak tetap terhibur dengan pelayan berkepala bulat itu walaupun ia hanya boleh bergerak pada laluan yang sudah ditetapkan saja.

Ia secara ramah akan meminta pelanggan ke tepi sekiranya laluan mereka dihalang.

Kos pekerja yang semakin meningkat di negara itu menggalakkan syarikat pembuatan beralih kepada robot dan China tahun lalu mengatasi Jepun untuk menjadi negara pengguna robot perindustrian terbesar dunia.- AFP

Khamis, 14 Ogos 2014

Suspek 'rompak' wang mangsa MH370 dikenal pasti

Putrajaya: Polis sudah mengenal pasti suspek yang terbabit mengeluarkan wang simpanan milik penumpang MH370 daripada akaun bank mereka.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya percaya ia dilakukan oleh orang dalam bank berkenaan. 
"Kami kini sedang memburu suspek berkenaan dan siasatan lanjut sedang dilakukan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan peringkat kementerian di sini, hari ini. 

Empat akaun bank milik mangsa pesawat penerbangan MH370 yang dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu dikesan 'dirompak' apabila wang simpanan mangsa berjumlah lebih RM100,000 lesap daripada akaun berkenaan.

Difahamkan, kehilangan itu disedari pada 18 Julai lalu oleh seorang pengurus bank selepas mendapati berlaku pengeluaran dan pemindahan wang daripada keempat-empat akaun oleh individu tidak dikenali.

Dalam perkembangan lain, Khalid dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail akan berlepas semula ke Amsterdam, Belanda bagi esok menyelesaikan masalah perundangan dan siasatan berkaitan nahas MH17 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kunjungan kali kedua ke Amsterdam itu menghormati perjanjian sedia ada dilakukan antara kerajaan Ukraine dan Malaysia sebelum ini selain menyelesaikan baki siasatan nahas MH17. 

"Kami amat komited bagi menyelesaikan masalah perundangan berkaitan nahas berkenaan," katanya.

Ais krim telur buaya

Foto
Davao (Filipina): Sebuah restoran di bandar ini mencipta pencuci mulut luar biasa selepas pemiliknya diberikan beberapa biji telur dari taman buaya berhampiran yang memelihara haiwan itu untuk daging dan kulitnya.
Pemilik restoran Sweet Spot berkata, pencinta haiwan tidak perlu bimbang kerana mereka tidak menggunakan daging buaya dalam resipi tetapi hanya lebihan telur sang bedal itu yang tidak menetas. Sweet Spot menggunakan telur buaya sebagai ganti kepada telur ayam dan mencampurkannya dengan ramuan biasa seperti susu, krim, gula dan perisa.

Sebelum ini, pemilik Sweet Spot, Dino dan Bianca Ramos, menerima telur buaya daripada bapa saudara Dino yang juga pemilik Taman Buaya Davao.
Tidak tahu apa yang hendak dilakukan dengan telur itu, Dino memutuskan untuk menggunanya bagi membuat aiskrim.

Hasilnya amat memberangsangkan kerana ternyata ia sedap! “Sudah pasti ia ais krim biasa yang tidak mempunyai rasa buaya kerana kami hanya mengguna telurnya, tetapi ia benar-benar sedap.

“Buaya ialah spesies haiwan terancam. Kami menggunakan telur lebihan atau yang tidak menetas,” katanya.
Menurut Sweet Spot, telur buaya terdiri daripada 80 peratus kuning telur dan lebih banyak nutrisi berbanding telur ayam, menjadikan ia pilihan lebih sihat untuk ais krim mereka.

Ia bagaimanapun bukan sesuatu yang luar biasa.
Ice Cream Parlour di Whitby, North Yorkshire menjual ais krim ikan dan kentang. Ia dibuat menggunakan ikan kod yang disalut tepung, kentang goreng dan kekacang. Selain itu, kedai ais krim di London, Icecreamists pula pernah menimbulkan kekecohan kerana menyediakan ais krim daripada susu ibu dan diberi nama Baby Gaga.

Namun, iani semua tidak dapat mengalahkan Jepun kerana mereka adalah ‘Raja segala ais krim berperisa pelik.’ Antaranya, termasuk daging kuda, lidah lembu dan sotong kurita. - Agensi

Padah tulis kata lucah pada kertas saman

Padah
GEORGETOWN – Seorang tukang batu nisan dijatuhi hukuman penjara seminggu dan denda RM5,000 atau penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menandatangani buku saman trafik dengan perkataan lucah dua bulan lalu.

Majistret Dianne Nigrad Nor Azhar memerintahkan Lim Pei Jye menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini. Lim, 41, didakwa menulis kata-kata lucah pada buku saman yang diberikan kepadanya untuk ditandatangani dengan maksud mengaibkan kehormatan anggota polis trafik S.Thanesan di hadapan Kafe I Love U, di Jalan Batu Ferringhi, dekat sini, pada jam 9.50 pagi, 2 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes anggota polis trafik itu menahan Lim di hadapan kafe berkenaan kerana melanggar isyarat lampu merah.

Polis trafik itu kemudiannya mengeluarkan saman kepada Lim dan menyerahkan buku saman untuk Lim menandatanganinya, sebelum mendapati ruang tanda tangan itu ditulis dengan perkataan lucah.

Terdahulu, peguam Muhammad Arif Shaharuddin yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhi hukuman ringan atas alasan lelaki berkenaan mempunyai tanggungan dua orang anak.

“Tertuduh memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan. Ketika kejadian dia dalam keadaan tertekan kerana dalam proses perceraian dengan isterinya. Oleh itu, saya memohon mahkamah mempertimbangkan rayuan tertuduh,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hafiz Hashim kemudiannya berkata perceraian tidak boleh digunakan sebagai alasan atas tindakan yang dilakukan untuk mengaibkan seorang anggota polis secara peribadi dan memohon hukuman berat berbentuk pengajaran dan faktor kepentingan awam diambil kira.

“Tertuduh sengaja menulis perkataan lucah kepada anggota polis trafik yang hanya menjalankan tugasnya. Sebelum itu, tertuduh juga melakukan kesalahan lalu lintas, melanggar lampu merah,” katanya, lapor Bernama.

sumber : bernama

Jutawan yang menyuruh anaknya bekerja sambilan di MacDonalds


Mantan Perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, menghantar anak 

perempuannya untuk bekerja di MacDonalds untuk mengajar anaknya 

tentang susah payah untuk mendapatkan duit. Thaksin juga kadang-kadang 

akan berhenti di restauran tersebut untuk membeli makanan dari anaknya 

sendiri. Thaksin juga turut berkata bahawa jangan memberi layanan 

istimewa kepada anaknya itu dan hendaklah dilayan seperti pekerja-pekerja 

yang lain. Dan jika perlu, suruhlah dia mop lantai sama seperti pekerja 

yang lain juga

Cerita-Cerita Menarik