KLIK.. Peluang Anda

Selasa, 12 Ogos 2014

‘Isteri bosan hidup susah’

Foto+
Johor Bahru: Walaupun serba kekurangan, seorang lelaki lembam nekad menjaga dua anak tirinya dalam pondok usang di kawasan setinggan di Taman Sri Pandan di sini, sejak isterinya menghilangkan diri lima tahun lalu.
Bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan kira-kira RM400 sebulan, Rahmat Mori, 54, memikul tanggungjawab membesar dan menyekolahkan anak tirinya, Mohd Mawi, 13, dan Siti Nuhaliza Abdullah, 10. 
“Saya sudah tiga kali berkahwin, namun jodoh tidak panjang kerana isteri bosan hidup susah. Malah isteri ketiga yang juga seorang janda lari meninggalkan dua anaknya untuk saya jaga sejak lima tahun lalu,” katanya. 

Rahmat bagaimanapun bersyukur kerana kedua-dua anak tirinya tidak mengeluh dengan kehidupan serba kekurangan.
“Saya bukan tidak sayang isteri, namun hanya mampu bekerja sebagai tukang rumah dan pendapatan tidak pernah melebihi RM400 sebulan.

Berselfie membawa maut

Cabo da Roca, Portugal: Sepasang suami isteri warga Poland mati selepas leka mengambil selfie menyebabkan mereka terjatuh dari tebing tinggi ke dalam laut, semalam.
Lebih tragik, kejadian itu berlaku di depan anak mereka. 
Menurut media, sebelum kejadian pasangan malang itu sibuk merakam gambar sendiri dari pelbagai sudut. 

Butiran lanjut mengenai insiden itu belum dapat disahkan, malah bercanggah antara satu sama lain.

Ada saksi berkata, pasangan terbabit meminta anak mereka berusia lima dan enam tahun mengambil gambar berkenaan.

Kanak-kanak terbabit kini diserah kepada diplomat Poland untuk diuruskan. 

Sumber berkata pasangan suami isteri itu memang berasal dari Poland, namun menetap di Portugal sejak beberapa tahun lalu. 

“Difahamkan, pasangan terbabit mungkin melanggar amaran menghalang pengunjung berada berhampiran tebing,” katanya.- Agensi

Steve Jobs masih hidup?

Foto
Rio de Janeiro: Kemunculan imej lelaki berwajah mirip pengasas bersama Apple Inc yang sudah meninggal dunia pada 2011 menimbulkan perbincangan baru mengenai kesahihan kematiannya.
Kemunculan imej menyerupai Steve Jobs itu dikesan pada satu selfie seorang lelaki yang dimuat naik di laman sesawang Reddit.
Menggunakan nama TheHorseSizedDuck, lelaki terbabit merakam gambarnya di kawasan pantai Rio de Janeiro dan secara tidak sengaja merekodkan seorang lelaki berkerusi roda seakan-akan Jobs.

Dia dilihat berbaju hitam dan ditolak lelaki lain.
Berdasarkan janggut, kaca mata, rambut dan gayanya seseorang boleh diyakinkan lelaki terbabit adalah Jobs.

Bagaimanapun, lapisan kedua baju dipakai pada bahagian dalam itu menimbulkan tanda tanya kerana ia bercorak terang yang bercanggah dengan kebiasaan Jobs.

Jobs didapati menghidap penyakit barah pankreas dan menghembus nafas terakhirnya jam 3 petang, 5 Oktober 2011.

Kemunculan imej menyerupai Jobs itu merancakkan perbincangan pelayar Internet terutama dalam kalangan peminat teori konspirasi.

Pengguna Reddit yang dikenali sebagai BestTastingFish memberi komen: “Kami perlukan lebih banyak maklumat mengenai gambar ini seperti di mana ia diambil dan adakah Jobs benar-benar berada di situ.

“Secara peribadi, saya ragu-ragu.” katanya. 

Namun, ada juga menganggap gambar ini diambil ketika Jobs masih hidup dan baru disiarkan sekarang.- Agensi

Wajah si cilik tak bertulang

Foto
London: Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun nampak tidak ubah seperti anak patung yang ‘rosak’ apabila lahir dengan penyakit yang menyebabkan tulang pada wajah dan badannya membesar pada kadar tidak normal.
Penyakit dikenali sebagai sindrom Apert menyebabkan Kira Yates juga tidak mempunyai tangan serta kaki yang berbentuk normal, namun kini kanak-kanak itu mempunyai harapan untuk kelihatan seperti rakan sebayanya biarpun terpaksa melalui pelbagai pembedahan rumit serta menyakitkan untuk membina semula tulang-tulang wajah serta badannya. 
Sebelum berusia setahun, Kira, yang berasal dari Doncaster melalui pembedahan untuk memperbaiki bentuk mukanya, malah pernah mempunyai 27 temu janji dengan doktor dalam hanya sebulan. 

Sejak itu dia menjalani pelbagai prosedur lain termasuk pembedahan 14 jam yang melihat tengkoraknya dipecah-pecahkan sebelum dibentuk semula selain kepingan besi dimuatkan pada mukanya untuk membentuk struktur wajah.
Dia turut dimuatkan batang besi pada tengkuknya untuk menyokong struktur badannya.

Sindrom Apert yang berpunca daripada kecacatan kromosom mengakibatkan tulang tengkorak bercantum terlalu cepat sehingga menghalang pembentukan normal kepala dan wajah. 

Kanak-kanak yang mengalami Apert mempunyai mata yang nampak tersembul, namun ‘jatuh’ pada alisnya selain bermasalah gigi disebabkan tulang rahang yang tidak sempurna serta jari tangan dan kaki melekat seperti kaki itik. 

Sementara itu, ibunya, Michelle, 47, mengakui keadaan dihadapi sukar, malah dia sekeluarga terkejut ketika Kira dilahirkan. 

“Sebaik dia dilahirkan, dia terus dibalut dan diambil daripada saya. Doktor tidak tahu apa yang dihidapinya dan pakar terpaksa dipanggil untuk mendiagnos keadaannya. 

“Dia terpaksa disusun semula seperti permainan susun suai gambar. 

“Saya tidak pernah mengeluh kerana menganggap Kira cekal dan ‘ajaib.’ Doktor juga terkejut kerana dia menunjukkan tindak balas positif terhadap setiap rawatan,” katanya. - Agensi

Cuping telinga terbesar di dunia

Foto
Honolulu: Seorang lelalki Hawaii dinobatkan gelaran manusia dengan lubang cuping telinga paling besar sehingga mampu memuatkan tangan manusia.
Kala Kaiwi yang juga pakar tatu mempunyai cuping telinga dengan diameter lubang sebesar 4.3 inci selain badannya turut dipenuhi pelbagai tatu serta ‘hiasan’ lain. 
Kaiwi baru pulang dari Milan, Itali di mana dia menerima anugerah berkenaan dan ramai juga tertanya-tanya sama ada dia bermasalah melalui sistem keselamatan di lapangan terbang disebabkan pelbagai besi yang turut menembusi wajah serta tubuhnya. 

Selain cuping telinga, Kaiwi turut mempunyai tanduk silikon ditanam di kepalanya, subang gergasi pada kedua-dua belah hidungnya, ketulan besi di seluruh wajahnya selain bulu kening ditatu.
Malah, dia turut membelah lidahnya menggunakan flos gigi dan ‘sesungut’ besi yang tajam di atas dahinya.

Kaiwi mendapat latihan di Las Vegas pada 1999 sebelum pulang ke Hawaii dan membuka kedainya, Sin City Body Modification and Tattoo shop. 

Perbuatan membesarkan lubang cuping telinga semakin popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

Amalan yang sebelum ini banyak dilihat dalam kalangan masyarakat orang asli dan mengikut sejarah, ia juga pernah dilakukan firaun terkenal Mesir Tutankhamen. 

Namun, pada zaman ini kita lebih berkemungkinan melihat orang kebanyakan di Barat mengamalkan perbuatan ini berbanding golongan diraja. 

Ia mula menjadi fesyen tersendiri selepas dilihat pada Otzi the Ice Man yang dipercayai berasal dari 3300 sebelum masihi dan mumia paling tua ditemui pada 1991 di pergunungan Alps.- Agensi

Nenek sembunyi wang dalam coli

Detroit (AS): Seorang wanita berusia 78 tahun cuba menaiki pesawat di Lapangan Terbang Metropolitan di sini untuk ke Filipina bersama wang tunai berjumlah AS$41,000 (RM131,507) yang disembunyikan di dalam seluar dalam, coli dan begnya.
Menurut dokumen mahkamah di Detroit, wanita dari Clearwater, Florida itu cuba menaiki pesawat berkenaan pada 2 April lalu bersama anak perempuannya.

Dia pada mulanya membawa wang tunai RM640, tetapi mengemukakan borang dan mengisytiharkan dia mempunyai wang sebanyak RM3,849, menyebabkan dia disoal pegawai.
Ketika diperiksa, pegawai Kastam dan Perlindungan Sempadan menemui RM25,660 dalam dompetnya, RM41,152 dalam saku dijahit khas pada pakaiannya dan hampir RM3,207 dalam sampul surat.

Dia kemudian mengaku mempunyai RM9,622 dalam pakaiannya dan wang tunai berjumlah sama dalam colinya.

Pemeriksaan selanjutnya membolehkan pegawai menemui RM67,357 lagi dalam seluar dalamnya.
Wanita itu memberitahu pihak berkuasa, dia menjual rumahnya dengan harga RM38,490 sebelum memindahkan sebahagian daripada wang itu menerusi bank ke Filipina dan merancang membawa sebahagian lagi bersamanya.

“Dia tidak memindahkan semua wang itu kerana merasakan lebih selamat untuk membawa sebahagiannya dalam bentuk tunai,” menurut laporan itu. - AFP

hajat masuk jel

Michigan: Seorang budak berusia 12 tahun menikam seorang kanak-kanak hingga mati sebelum dengan tenang menelefon polis meminta supaya dia dimasukkan ke penjara.
Suspek, Jamarion Lawhorn menikam Michael Connor Verkerke hingga mati dalam satu serangan di sebuah taman permainan.

Jamarion mengeluarkan pisau dan menikam Verkerke sebanyak empat kali di belakang badannya.
Selepas ditikam dengan teruk, mangsa sempat balik ke rumah bersama adiknya Kameron.

Sebelum rebah di depan rumah, dia memberitahu adiknya: “Jika sesuatu terjadi, ini bukan salah kamu dan saya sentiasa menyayangi kamu.” Keluarga Verkerke mengejarkannya ke hospital, namun kanak-kanak itu tidak sempat diselamatkan.

Sementara itu, Jamarion dilaporkan berlari ke rumah jirannya, Glen Stacy, 34 untuk meminjam telefon.
Menurut Stacy, Jamarion mengaku baru membunuh seseorang yang tidak dikenali.

Sejurus selepas memberitahu perkara itu, Lawhorn membuat panggilan ke balai polis.
“Saya baru membunuh seseorang. Bawa saya pergi. Saya mahu mati dan tak mahu hidup lagi,” katanya.

Jamarion juga mendakwa membenci hidupnya kerana tiada siapa yang menyayanginya dan mengambil terlalu banyak ‘pil.’ Bagaimanapun, menurut Stacy, kanak-kanak itu tidak menunjukkan sebarang tanda khayal. Apabila polis tiba, Jamarion menjerit sambil berjalan ke arah polis dengan menghulurkan tangannya untuk digari. - Agensi

Cerita-Cerita Menarik